Endometriosis dan TTC ? Kalau korang tengah baca artikel ni sambil baring, letak heating pad panas atas perut sebab senggugut mencucuk cucuk, aku nak korang tahu, aku faham sangat apa yang korang rasa. Aku ada di tempat korang. Selama 8 tahun yang panjang dan penuh air mata, perjalanan aku untuk cuba hamil (TTC) ni rasa macam siksaan. Macam macam harapan datang, tapi di penghujungnya dihancurkan dengan keputusan UPT negatif. Bila endo (endometriosis) pula join ‘party’ ni, memang rasa nak hancur luluh dibuatnya.
Table Of Content
Baru baru ni, aku berkesempatan jejakkan kaki ke forum What Women Want Forum: Before We Bloom – A Couple’s Guide to Pre-Pregnancy yang dibawakan khas oleh Parenthood Media dengan kerjasama Pantai Hospital Kuala Lumpur (PHKL) dekat MyToday, Atria Shopping Gallery. Duduk dalam dewan tu, dengar pakar perubatan kupas satu satu apa yang kita asyik simpan dalam hati selama ni… fuh, sumpah rasa macam dejavu segala yang aku harungi dulu.

Bila Doktor Paham Sakit Endo Kita Bukan Senggugut Biasa
Jujur cakaplah kan, kalau ada sesiapa yang tegur “Sabarlah, relax relax nanti lekatlah tu”, rasa nak lempang pun ada, kan? Mana tidaknya, endo ni bukan sakit period biasa. Tisu rahim tumbuh dekat tempat lain, buatkan pelvis kita penuh radang dan melekat lekat.
Masa forum tu, Dr. Raymond Lim (Pakar O&G) dan Dr. Lim Sue Wen (Pakar Endokrinologi) dari Pantai Hospital Kuala Lumpur betul betul buka mata kitorang. Diorang terangkan macam mana masalah kesihatan macam sindrom ovari metabolik poliendokrin (PMOS), endo, gangguan tiroid, sampai kencing manis boleh buat proses nak zuriat ni jadi mencabar. Dulu, setiap kali period sakit, aku asyik salahkan diri sendiri. Tapi dengar doktor doktor ni cakap, memang mengiyakan pengalaman lalu: Eh, badan kita ni sebenarnya sedang berjuang, aku bukan gagal.
Perjalanan melawan Endometriosis dan TTC ini bukan mudah ya, tambahan dahulu nak cari info bukan senang seperti sekarang. Korang bacalah posting aku sebelum ini , dan jangan lupa baca juga part treatment yang aku harung selama 8 tahun. Satu perjalanan yang panjang, tapi bila Herok Kecik tu dah keluar lupa terus segala kesedihan yang aku dah lalui. Serius! memang aku lupa.

Rawatan Kesuburan Tak Semestinya Terus Jumpa ke IVF!
Satu ketakutan paling besar bila kita jumpa pakar kesuburan ialah: “Waaa, doktor ni mesti nak suruh aku buat IVF berbelas ribu ringgit nanti!” Betul tak?
Tapi berita baik yang aku dapat dari forum Before We Bloom ni, jumpa doktor pakar tak bermakna kita automatik kena buat IVF!
- Sesi Borak Santai dengan Pakar: Konsultasi sebenarnya bermula dengan cari punca masalah dulu. Doktor nak kenal kita, nak tahu apa sebenarnya yang ketat atau tak ‘chantek’ dalam sistem badan kita.
- Ikhtiar Ikut Kesesuaian: Rawatan boleh jadi semudah ubah gaya hidup, jaga pemakanan, betulkan hormon, atau rawat masalah kesihatan lain dulu.
- Beban Tanggung Bersama: Paling penting, doktor ingatkan yang TTC ni bukan kerja perempuan sorang sorang. Laki kita pun kena check juga sebab faktor lelaki pun menyumbang kepada masalah kesuburan. Tak boleh tumpu kat bahtera kita sorang je!

Endometriosis dan TTC : Mental Korang Paling Utama, Jangan Seksa Diri
Selepas bertahun tahun hadap keputusan negatif, mental aku memang ‘tauke besar’ stress. Nak senyum dekat kenduri kawan-kawan yang baru bersalin pun jadi seksa.
Forum tu banyak bincang pasal betapa pentingnya jaga kesihatan mental, stres, berat badan, sampai la aktiviti fizikal harian kita. Kalau rasa penat, ambillah masa untuk rehat. Tutup IG sekejap kalau tak sanggup tengok pengumuman baby shower. Kalau perlukan panduan betul, jomlah cari saluran perubatan yang betul macam kat Pantai Hospital Kuala Lumpur, jangan malu minta tolong.
Bergelut dengan endometriosis dan TTC? Jom baca perkongsian jujur aku tentang info pakar dari forum PHKL Before We Bloom selepas 8 tahun berdepan kesukaran hamil.
Korang yang tengah baca ni, macam mana cara korang survive hari hari bad endo atau TTC blues korang? Sembanglah dengan aku dekat ruangan komen bawah ni ya, kita kuat sama sama!
No Comment! Be the first one.